Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kali kita menghadapi makanan dan minuman, kita berdoa kepada Allah
agar di berikan barakah dari rezeki yang akan kita santapi. Setiap kanak-kanak
muslim juga di didik sejak dari tadika lagi untuk berdoa sebelum makan. Barakah
dari rezeki itulah yang kita hajatkan.
Setiap manusia menghabiskan sebahagian besar dari waktu dan umur untuk
mencari rezeki. Berusaha mencari rezeki, apabila ikhlas niat dan dilaksanakan
dengan mengikut jalan-jalan yang halal adalah ibadah kepada Allah. Dalam
mencari rezeki juga , dapat menguatkan akidah seorang muslim, Allah S.W.T.
adalah pemberi rezeki. Salah satu nama Allah adalah al-Razzak… iaitu Pemberi
Rezeki. Banyak perkara di dunia ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T. untuk
manusia, agar di gunakan dalam usaha mencari rezeki. Oleh itu jangan sampai
kita lupa kepada Allah S.W.T. apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.
Suatu hari Nabi Sulaiman a.s. bertanya kepada seekor semut tentang berapa
banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia
hanya perlukan makanan sebesar sebutir gandum.
Lalu Nabi Sulaiman a.s. memasukkan semut tersebut di dalam sebuah botol
dengan di letakkan bersamanya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu
kemudiannya ditutup (diberi lubang sikit untuk udara masuk ke dalamnya).
Cukup tempuh setahun, mulut botol itu pun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman
a.s. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar sebutir
gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut.
Nabi Sulaiman bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang
dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebutir
gandum?
Sang semut menjelaskan bahawa jika diluar botol rezekinya dijamin
sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezekinya.
Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu.
Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman a.s) dia mengambil
langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan keprihatinan
manusia. Mana tahu kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih
daripada tempoh satu tahun? Apa akan jadi padanya?
Pengajaran yang boleh di perolehi daripada kisah ini adalah semut lebih
yakin jaminan rezeki daripada Allah S.W.T.(bertawakal kepada Allah)
ketika di luar botol berbanding “jaminan” manusia ketika berada di dalam botol.
Untuk menghadapi kemungkinan itulah ia mengambil langkah berjimat cermat,
supaya apabila berlaku sesuatu di luar jangkaan dia masih mampu bertahan. Masih
ada makanan yang boleh digunakan.
Kenapa kita yang berada di dunia ini yang mengaku beriman kepada Allah
S.W.T. tetapi masih ragu-ragu tentang jaminan rezeki dari Allah S.W.T? Oleh itu
yakinilah dengan sepenuh hati bahawa setiap anak yang lahir ke dunia, Allah
S.W.T. telah menjamin rezeki untuknya, samaada ibu-bapanya merancang atau tidak
merancang untuk anak tersebut.
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah ditetapkan rezeki
untuknya. sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Allah S.W.T. yang Maha Pemurah
dan Maha Penyayang telah menjamin rezeki untuk semua makhluknya, dari
sekecil-kecilnya makhluk (kuman) hinggalah sebesar-besarnya (ikan paus) dan
tidak dikurangkan sedikit pun daripadanya.
Manusia diminta untuk berusaha, berdoa dan bertawakkal nescaya ia akan
mendapat dan memiliki rezeki yang telah disedaikan oleh Allah S.W.T. dimuka
bumi ini.
Firman Allah s.w.t.yang bermsksud :
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya
jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak
disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah
mencukupkan keperluannya.”
(Surah At-Talaq ayat 2-3)
Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir
dengan Allah S.W.T. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling
tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah S.W.T.
Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani
kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan
yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T.
Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib
tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan
ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi
hubungan dengan Allah S.W.T, malahan semua yang harus pula di niatkan kerana
Allah supaya ianya menjadi ibadah.
Allah S.W.T. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya,
kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan
terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah S.W.T. Bukan setakat ini
saja, malahan Allah S.W.T.akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada
rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan, yang
sedikit diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan.
Kadangkala seseorang pernah bertanya pada diri sendiri, “Kenapa
rezekiku sempit? Buat berbagai usaha tetapi masih gagal mencapai
matlamatnya?Berniaga merosot, puas aku berdoa dan minta pertolongan Allah
tetapi masih tidak dimakbulkan-Nya?”
Perlu di ingat bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui apa akan berlaku kepada
para hamba-Nya dilambatkan permohonannya adalah untuk kebaikan hambanya
sendiri. Kerana takwanya belum mantap, maka diuji lagi supaya semakin banyak ia
berusaha, berdoa dan bertawakal maka akan melahirkan hubungan yang erat hatinya
dengan Allah S.W.T. dan Dia ingin memberikan pahala yang besar kepadanya diatas
kesabarannya. Oleh itu kita kena berbaik sangka dengan Allah S.W.T. berdoa dan
terus berdoa jangan putus asa. Cepat atau lambat dikabulkan doa kita adalah
urusan Allah S.W.T.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud : “Allah S.W.T. berfirman, ‘Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku
kepada diri-Ku’.”
(Hadis RiwayatAl-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya : “Janganlah kamu mati
melainkan dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah? Berbaik sangka di sini adalah
rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi
rasa harap.
Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud :
“Jika sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal,
pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada
burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang
kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh.”
Orang-orang yang bertawakal ialah mereka yang yakin dengan jaminan
rezeki daripada Allah S.W.T. dan mereka akan mendapat balasan yang baik di
akhirat nanti.
Kunci rezeki dan perbendaharaan Allah S.W.T. hanya berada ditangan-Nya dan
Dia akan membuka pintu rezeki ini seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang
banyak beristighfar, bersedekah, sentiasa berwuduk, menghubungkan silaturahim,
solat duha, solat tahajjud , berzikir dan membaca al-Quran. Amalan-amalan soleh
ini jika diamalkan akan membina jambatan hati kita dengan Allah S.W.T. dan
apabila Dia kasih dan sayang pada kita maka segala permohonan dan doa kita
dimakbulkan-Nya dan di kurniakan rezeki di jalan yang tiada disangka-sangka.
Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai
menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah. Oleh itu, kita perlu
bertawakal kepada Allah dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti
berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.
Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah
dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan
kepentingan antara dunia dan akhirat.
Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini. Berusaha
dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat
mengatasi takdir Allah.
Selalu bersyukur
BalasHapusThankkksssss